Sunday, 18 October 2015

Novel: Syair Cinta Sang Bidadara.

Novel: Syair Cinta Sang Bidadara.

Bab 4.

��4.1.

Anak ungka di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari,
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.

Kawanan itik nila yang sedang berenang-renang di anak sungai memang mengasyikkan. Cemburunya melihat mereka berenang berpasang-pasangan. Fitrah alam yang sudah Allah tetapkan. Aku menyisip sedikit kopi yang suam-suam kuku dari termos yang umi bawa. Dua bijik cekodok pisang pun dah selamat jadi santapan. Umi memang rajin. Pagi-pagi lagi dah bangun siapkan nasik lemak jualan dan bekal kami ke kebun.

"Umi, jom rehat dulu. Panas tu."

Aku memanggil umi. Dari tadi bekerja tanpa rehat. Ingin sekali melihat umi berehat-rehat dirumah. Membiarkan dia menghabiskan masa tuanya beramal jariah. Puas sudah menasihatinya. Tapi umi dan kedegilannya berpisah tiada. Bagai isi dengan kuku.

Dah lama umi dan arwah abah mengusahakan tanah ini. Tanah luas lagi subur milik Pak Ngah. Tanah yang asalnya milik arwah abah tapi tergadai pada Pak Ngah untuk membiayai aku adik beradik belajar. Sekarang aku menyambung usaha arwah abah bersama umi. Tanaman yang subur menghijau. Sayur-sayuran, pisang, tebu, nenas dan jagung. Sudah beberapa kali hasilnya dapat dikutip dan dijual. Umi menjual sayur-sayur dan buah pada peraih. Aku akan memikul tandan-tandan pisang untuk dihantar ke peraih sebelah petangnya. Badan pun dah sado, berketak-ketak.

Aku memandang tanah Pak Ngah yang agak luas itu. Tanah yang luasnya berelung-relung ini adalah tanah pusaka nenek moyang kami.
Separuhnya adalah milik arwah abah dan selebihnya milik Pak Ngah. Pak Ngah sekeluarga sekarang ini menetap di Kuala Lumpur. Dia menyewakan tanah ini untuk arwah abah guna setelah tanah ini tergadai padanya. Aku masih tak tahu apa-apa masa tu. Cuma satu yang aku tau. Aku tau yang aku perlu pegang pada kata-kata arwah. Aku masih ingat lagi kata-kata arwah abah;

'Harta dunia ini tak akan bawa kita ke mana-mana.
Harta dunia punca pergaduhan keluarga.
Harta dunia memecah belah masyarakat.
Harta dunia boleh menumpahkan darah.
Kecuali bagi mereka yang beramal dengannya.'

Saturday, 17 October 2015

Novel: Syair Cinta Sang Bidadara

Novel: Syair Cinta Sang Bidadara.

Bab 1.

��1.1

Baik baik mengail tenggiri,
Takut terkena si ikan parang,
Baik baik merendah diri,
Jangan menjadi hamba orang.

Dingin dinihari dikampung cukup untuk buatkan aku menarik kembali selimut lusuh ditubuh. Hujan renyai-renyai yang turun semalam menambah lagi kesejukan. Bunyi ketukan dipintu tidak dihiraukan.

"Amar..."

"Ya, ya Umi. Amar bangun dah."

Suara ketukan boleh lagi nak diabaikan. Tapi tidak suara Umi. Umi jarang mengetuk pintu mengejutkan aku. Tapi hari ni mungkin melihatkan bilikku yang masih gelap, Umi datang menjengah.

Aku menolak selimut dan terus melihat jam disisi kiri. Pukul 4.30 pagi?? Aku terus bingkas bangun, sangkut tuala dileher dan menapak ke bilik mandi diluar rumah. Kalaulah boleh disebut bilik mandi. ������

Dah lama sebenarnya aku berhasrat nak buat bilik mandi didalam rumah, mungkin boleh dibuat disudut dapur. Tapi barang batu batu, simen dan kayu kayan yang mahal membantutkan hasratku. Kesian umi dan adik perempuanku yang kadangkala balik bercuti. Mereka tak bebas keluar masuk bilik mandi tanpa menutup aurat. Bilik mandi yang agak jauh dibelakang rumah memang bersebelahan dengan denai laluan orang-orang kampung pergi ke sawah.

Leka dibilik mandi tadi buatkan aku lupa tugas hakiki ku sebagai muazzin dimasjid berhampiran. Aku mempercepatkan langkah, perlu mendahului sang Imam.

"Allahu Akbar, Allahu Akbar..."

Seketika kemudian, suaraku tersebar keseluruh pelusuk kampung. Dan jauh disudut hati, aku doakan gemanya didengari dipelosok alam.

"Allahu Akbar, Allahu Akbar"
Puji pujian memuji kebesaranNya
Bangunlah duhai jiwa,
Jika kau ingin berjaya,
Jika kau ingin menang bergaya,
Jika kau ingin senang diakhirat dan dunia,
Bentangkan sejadah menghadapNya,
Sujud dalam tangis do’a.

"Assolatu khairun minannaum"
Aku cuma hamba,
Pengantara membangunkan zat bernyawa,
Menyembah Dia yang sangat dicinta.

"Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh.
Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat)." (Surah Al-Israa': 78)

Bersambung.

Friday, 16 October 2015

Novel: Syair Cinta Sang Bidadara.

Prolog.

Abah memanggil aku mendekatinya. Aku yang ketika itu sedang tekun mengajar budak-budak mengaji Quran bergegas mendapatkan abah dipembaringan disudut rumah. Abah menggenggam erat tangan kananku. Sedang tangan kirinya memegang tangan umi.

"Amar, abah rasa hayat abah dah tak lama. Abah harap Amar dapat jaga umi dan adik adik Amar dengan baik."

"Jangan cakap macam tu bah. Ajal maut ditangan Dia. Amar belum mampu nak pegang tanggungjawab ni Abah."

Batuk kecil abah jelas kedengaran didalam rumah kayu kami. Kelihatan abah begitu sukar untuk menarik nafasnya. Kulihat tangan umi menggosok dada abah perlahan lahan. Mata umi nampak berkaca tapi aku tahu umi begitu kedekut untuk menitiskan airmatanya. Sesekali bacaan Yaasinnya yang entah keberapa kalinya

"Abah tiada harta walau sekangkang kera pun untuk diwasiatkan pada kamu adik beradik."

"Abah, dahlah. Abah rehat dulu. Jangan paksa sangat bah."

Aku potong cakap abah melihatkan abah begitu kepayahan menuturkan sepatah demi sepatah katanya.

"Ilmu dunia kamu dah cari sendiri. Harta abah cuma ilmu akhirat yang abah dah turunkan, umi kamu dan anak-anak abah. Abah wasiatkan pada kamu ketiga-tiganya. Hanya kamu yang abah harapkan. Walau kemana kamu pergi, kamu jangan lupa wasiat abah ni."

"Insyallah bah. Amar akan ingat nasihat Abah. Amar akan jaga umi dan adik adik dengan baik bah."

"Amar Syauqi..."

Suara abah terhenti seketika. Abah batuk batuk seketika. Abah sedaya upaya cuba menyembunyikan keletihannya.

"Amar, permintaan abah yang terakhir, carilah seorang isteri sebagai pendampingmu. Jangan lupa perkara yang empat itu. Pegang pada apa yang abah selalu ingatkan dulu. Insyallah, hidup kamu dalam lindungan Allah Taala selalu."

Usai saja abah menitipkan pesan padaku, abah memintaku mengangkatkan wuduk untuknya. Selesai berwuduk, pada malam Jumaat itu, bersamaan 12 Muharram 1427H, abah berhijrah ke alam fana meninggalkan kami buat selama lamanya.

Innalillahi wainna ilaihi rajiun. DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali. Masih terngiang-ngiang pesan abah suatu ketika dulu;

'Jangan terpesona pada cantiknya rupa,
Kecantikannya boleh membuai rasa,
Jangan tertarik dengan kekayaannya, Hartanya boleh membunuh jiwa,
Jangan memandang keturunannya semata,
Kelak badan kamu binasa,
Yang paling utama,
Carilah yang kental iman dijiwa,
Pilihlah yang kukuh iman didada,
Insyallah kamu selamat diakhirat dan bahagia didunia.
Nantinya,
Jadilah kamu tiangnya,
Agar dia berupaya menjadi penyangga,
Jadilah kamu gurunya,
Agar dia terdidik sempurna,
Jadilah kamu payungnya,
Yang dapat menahan setiap nista,
Jadilah kamu embunnya,
Supaya dapat menyejukkan api kemarahannya,
Jadilah kamu imamnya,
Agar kamu berdua dapat bersatu kembali di JannahNya'.

Bersambung.